Tuesday, March 15, 2011

Hujahan teknik ‘rebonding’, kerinting rambut



Islam adalah agama fitrah. Tidak ada satu pun hukum dan peraturan dalam ajaran Islam bercanggah dengan fitrah.

Manusia umumnya, tidak kira sama ada lelaki atau wanita suka melihat sesuatu yang cantik dan memperlihatkan kecantikan yang ada pada dirinya. Dengan kata lain, ingin supaya orang melihatnya dalam keadaan kemas dan cantik.

Justeru, Islam bukan saja mengharuskan, malah menggalakkan wanita dan lelaki berhias bagi memenuhi tuntutan fitrah yang sukakan keindahan dan kecantikan. Diriwayatkan Ibn ‘Abbas pernah berkata: “Sesungguhnya aku berhias untuk isteriku sebagaimana aku suka dia berhias untukku. Sebagaimana aku suka menuntut semua hakku daripadanya, aku juga menyempurnakan semua haknya daripadaku kerana Allah berfirman maksudnya: “... dan untuk isteri-isteri itu haknya sebagaimana mereka mempunyai tanggungjawab terhadap suami mereka dengan cara yang makruf (Surah al-Baqarah, ayat 228).”

Berdasarkan prinsip itu, fuqaha mengatakan bahawa semua jenis perhiasan adalah harus kecuali ada nas yang jelas dan sahih menunjukkan haram. Dalam hal ini, mereka berpandukan kaedah fiqh “asal semua perkara itu harus melainkan ada dalil yang menunjukkan ia haram.”

Selain ada nas yang jelas menunjukkan haram seperti wasymu (tatu), mencukur bulu kening, memakai rambut palsu dan sebagainya, beberapa perkara perlu diberi perhatian dalam menentukan sesuatu itu halal atau sebaliknya.

Pertama, niat atau tujuan perkara itu dibuat.

Niat yang tidak baik akan menjadikan sesuatu yang pada asalnya harus itu haram. Tetapi, niat yang baik tidak menjadikan perkara yang haram itu halal. Umpamanya, memakai rambut palsu dengan niat menyenangkan hati suami, tidak akan mengubah hukum pemakaian rambut palsu itu.

Kedua, dari segi cara pelaksanaannya mesti tidak melanggar batas syarak seperti memotong atau merawat rambut di salun terbuka atau menggunakan khidmat pendandan yang berlainan jantina.

Ketiga, dari segi bahan yang digunakan mesti bukan daripada benda yang najis atau bercampur najis atau bahan yang boleh mendatangkan mudarat pada agama, nyawa, akal, zuriat dan harta dalam jangka masa panjang atau pendek.

Keempat, khusus bagi golongan wanita.

Kerap ditekankan wanita wajib berhias untuk suami. Itu memang benar. Fuqaha berpendapat jika suami menyuruh isterinya berhias, menyediakan alat atau bahan perhiasan untuk isterinya, maka isterinya wajib taat dengan menggunakan alat atau bahan itu.

Ia dengan syarat apa yang disuruh oleh suami itu tidak termasuk dalam kategori perhiasan yang haram.

Sekiranya suami memerintahkan isteri melakukan perkara haram, isteri tidak wajib mematuhinya. Hal ini kerana Rasulullah SAW menegaskan dalam sabdanya bermaksud: “Tidak boleh taat kepada makhluk sekiranya membawa kepada maksiat (derhaka) kepada al-Khaliq (Allah).”

Berkaitan dengan persoalan yang ditanyakan iaitu ‘rebonding’, merujuk kepada tafsiran yang dibuat oleh Sa’id Hawa dalam al-Asas fi at-Tafsir terhadap ayat bermaksud: “Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.

Dan sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata.” (Surah an-Nisa’, ayat 19). Ia tidak termasuk dalam kategori mengubah ciptaan Allah.

Beberapa pendapat yang dikemukakan fuqaha berkaitan perhiasan yang halal dan haram juga tidak menyebut ‘rebonding’ sebagai haram.

Begitu pun, sebagai wanita beriman seeloknya sebelum melakukan sesuatu buatlah penilaian terlebih dulu secara menyeluruh - baik buruknya, untung ruginya dan seumpamanya.

Mengenai baik atau buruknya ‘rebonding’, saya petik jawapan yang diberikan oleh ahli sains, Richard Hoffmann (Profhoff) 388 apabila ditanya mengenainya. Katanya: “Rambut sebenarnya protein mati yang dikenali ‘keratin’.

Rambut hidup hanya pada akar umbinya. Oleh itu, sebenarnya ia tiada istilah ‘rambut sihat’.

Rambut jika rosak, tidak boleh dibaiki dengan membubuh apa-apa pada permukaannya. Produk yang didakwa boleh membaiki rambut sebenarnya bahan yang direka untuk menutup kerosakan itu.

Pada dasarnya, ia akan hilang apabila rambut dibasuh dan kerosakan itu berkekalan. Kerap juga ia menjadikan keadaan rambut bertambah buruk.

“Walaupun rambut itu dikatakan keratin, menambah keratin (rebonding) tidak memberi kebaikan pada jangka panjang.

Hal ini kerana apa yang dibubuh pada rambut adalah pada luaran saja dan tidak pada bahagian dalam (semula jadi) rambut apabila ia panjang.

“Kebanyakan produk penjagaan rambut mengiklankan untuk membaiki rambut yang rosak, sebenarnya mereka hanya mahukan wang anda. Kerosakan rambut disebabkan rawatan dan penjagaan rambut yang kurang cermat.”



Dijawab Prof Madya Maznah Daud, pensyarah syariah Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor.

sumber; Bicara Kalbu







nota coklet : apakah pandangan anda tehadap isu `rebonding' rambut ni ? o.0





 

4 insan doakan kebahagiaanku:

Shiqin Zainal said...

wahhh.. bru tahu nie.
tanx ye share2, tq sesangat.
:)

Qaseh Dalia said...

tak pernah rebonding rambut agy pun dah lurus n pakai tudung hik2 ...
tq info kat atas tu ..

syuwai said...

@ shiqin

sesama sesangat..hehe

syuwai said...

@ Qaseh

tahniah2x..

best kan bertudung? ^^

 

Copyright © 2011 Reserved to Bukan Cerita Tentang Coklat Design with love by CikBulat